Monday, 29 July 2013

MENARA PERBADANAN LABUAN MENGALAMI KEBAKARAN KECIL

Views

Orang awam yang masih berada di sekitar bandar Labuan pada waktu malam dikejutkan dengan satu kebakaran struktur yang berlaku membabitkan Menara Perbadanan Labuan pada Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Jainal @Zainal Madasin berkata pihak Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan pada jam 11.20 malam mengenai kebakaran itu.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan itu, pihak Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan tiba di lokasi pada jam 11.23 malam dengan kekuatan tujuh anggota dan jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jawa.

“Di tempat kejadian, kami mendapati kepulan asap berlaku di sekitar tingkat dua bangunan berkenaan. Pasukan bomba kemudian bertindak masuk ke bangunan bagi mencari dan memadam kebakaran.

“Punca asap itu bermula di tingkat tiga di mana kebakaran telah berlaku, iaitu di pejabat Perpustakaan Negeri,” katanya dan menambah, kebakaran itu tidak melibatkan tingkat yang lain.

Jainal berkata, kekuatan anggota bomba kemudian ditambah 10 anggota lagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Labuan dengan 10 anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Layangan.
Turut membantu ialah Pasukan Bomba Sukarela Gersik Saguking.

“Anggota kita menggunapakai alat penyedut asap bagi mengeluarkan asap yang terkepung di bahagian dalam bangunan itu dan kebakaran berjaya dikawal pada sekitar jam 1.24 pagi,” katanya.

Sementara itu, operasi berkenaan telah diisytiharkan tamat pada jam 2.15 pagi.

Apabila ditanya mengenai punca kebakaran dan anggaran kerugian, Jainal menjelaskan ianya masih lagi dalam proses siasatan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Turut berada di lokasi kejadian ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Zainal Abidin Abdullah dan timbalannya, Amir Onn Hj Mustapha.

Menara Perbadanan Labuan menempatkan lapan jabatan termasuklah Jabatan Hal Ehwal Korporat, Audit Dalaman dan Penasihat Undang-Undang serta Pengurusan Maklumat.



Wednesday, 24 July 2013

"High Profile Policing" Salah Satu Program PDRM

Views

LAFA anjur Bola Sepak Veteran Jemputan

Views

Dua Beranak Rentung Dalam Kebakaran

Views

Dua beranak, iaitu ibu dan anak lelakinya ditemui rentung dalam satu kebakaran yang berlaku di sebuah rumah di Kampung Rancha Rancha Darat, di sini kelmarin.

Mangsa dikenal pasti sebagai Napsiah Mohd Kasim, 76, dan anak lelakinya, Helmi Abdul Hamid, 36.
Seorang lagi anak lelaki mangsa yang terselamat, Zulkifli Abdul Hamid, 40, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.20 pagi, sejurus mereka selesai bersahur.


“Selesai bersahur, tiba-tiba abang ipar saya yang tinggal berjiran dengan kami berteriak `api-api’ sambil menunjukkan ke arah dapur kami. Ibu dan adik lelaki saya tinggal di tingkat atas, sementara kami di tingkat bawah.


“Ketika itu, api merebak dengan cepat, saya lantas meluru ke tingkat atas untuk cuba menyelamatkan kedua-dua ibu dan adik saya yang berada bilik mereka masing-masing,” katanya.


Ketika berusaha menyelamatkan kedua-dua mangsa di tingkat atas, Zulkifli berteriak memanggil ibu dan adiknya serta memecahkan tingkap dan pintu sebelah atas rumah berkenaan sehingga tangannya sendiri luka dan cedera.


Namun, keadaan tidak mengizinkan disebabkan keadaan api merebak begitu cepat.
Apabila mendapati  usahanya menyelamatkan ibu dan adiknya tidak berhasil, dia meluru ke tingkat bawah untuk menyelamatkan isteri dan empat anaknya yang berehat di bilik mereka.


Zulkifli berkata tiupan angin pada ketika itu juga begitu kuat sehingga menyebabkan api merebak begitu cepat.


Turut terjejas dalam kejadian itu ialah kereta jenis Avanza milik Zulkifli, di mana bahagian belakang kereta itu turut terbakar.


Demikian juga dengan kereta jenis Perodua Viva milik anak buah Zulkifli yang tinggal berjiran dengan mereka, juga terbakar pada bahagian belakang.


Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima laporan kebakaran itu pada jam 4.34 pagi, dan tiba di tempat kejadian 13 minit kemudian.


Jurucakapnya, Jason Bilin, berkata kebakaran pada rumah itu dapat dikawal dalam tempoh sejam.
“Mangsa pertama, iaitu ibu terbabit ditemui pada jam 6.14 pagi dan mangsa kedua iaitu anak lelakinya pada jam 6.30 pagi,” katanya.


Ketua Polis Daerah Labuan, Superitendan Adzhar Othman, berkata kes kematian itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.


“Menurut pihak bomba punca kebakaran itu mungkin berpunca dari litar pintas atau dari tong gas memasak,” katanya.


Kedua-dua mangsa itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam di Kampung Rancha Rancha Darat setelah jenazah mereka dihantar ke Hospital Labuan dan disembahyangkan di Masjid Rancha Rancha Darat.