Monday, 29 July 2013

MENARA PERBADANAN LABUAN MENGALAMI KEBAKARAN KECIL

Views

Orang awam yang masih berada di sekitar bandar Labuan pada waktu malam dikejutkan dengan satu kebakaran struktur yang berlaku membabitkan Menara Perbadanan Labuan pada Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Jainal @Zainal Madasin berkata pihak Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan pada jam 11.20 malam mengenai kebakaran itu.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan itu, pihak Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan tiba di lokasi pada jam 11.23 malam dengan kekuatan tujuh anggota dan jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jawa.

“Di tempat kejadian, kami mendapati kepulan asap berlaku di sekitar tingkat dua bangunan berkenaan. Pasukan bomba kemudian bertindak masuk ke bangunan bagi mencari dan memadam kebakaran.

“Punca asap itu bermula di tingkat tiga di mana kebakaran telah berlaku, iaitu di pejabat Perpustakaan Negeri,” katanya dan menambah, kebakaran itu tidak melibatkan tingkat yang lain.

Jainal berkata, kekuatan anggota bomba kemudian ditambah 10 anggota lagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Labuan dengan 10 anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Layangan.
Turut membantu ialah Pasukan Bomba Sukarela Gersik Saguking.

“Anggota kita menggunapakai alat penyedut asap bagi mengeluarkan asap yang terkepung di bahagian dalam bangunan itu dan kebakaran berjaya dikawal pada sekitar jam 1.24 pagi,” katanya.

Sementara itu, operasi berkenaan telah diisytiharkan tamat pada jam 2.15 pagi.

Apabila ditanya mengenai punca kebakaran dan anggaran kerugian, Jainal menjelaskan ianya masih lagi dalam proses siasatan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Turut berada di lokasi kejadian ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Zainal Abidin Abdullah dan timbalannya, Amir Onn Hj Mustapha.

Menara Perbadanan Labuan menempatkan lapan jabatan termasuklah Jabatan Hal Ehwal Korporat, Audit Dalaman dan Penasihat Undang-Undang serta Pengurusan Maklumat.



No comments:

Post a Comment