Sebuah rumah pekerja di Kampung Bebuloh Laut musnah dalam satu kejadian kebakaran pada Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Jainal @Zainal Madasin kelmarin berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.07 petang mengenai kejadian itu.
“Sejurus menerima panggilan kecemasan berkenaan, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Layangan bergegas ke lokasi kejadian.
“Para anggota tiba pada jam 2.08 petang iaitu lebih kurang satu minit selepas menerima panggilan itu.
“Rumah yang terbakar itu merupakan rumah kayu yang dihuni oleh pekerja yang mengambil upah bagi membina rumah penduduk di sekitar Kampung Bebuloh Laut,” katanya.
Jainal berkata, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan kerana ketika kejadian itu berlaku, penghuni tidak berada di rumah terbabit.
Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 33 minit dengan bantuan jentera pemadam api dari Balai Bomba dan Penyelamat Jawa selain jentera pemadam api dari Balai Bomba dan Penyelamat Layangan.
Manakala, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan dan ia merupakan kebakaran kedua yang berlaku dalam musim perayaan Hari Raya ini.
Sebelum ini, sebuah lagi rumah kayu milik warga Indonesia di Kampung Batu Arang berhampiran dengan Wisma Wong Wo Lo telah terbakar pada 7 Ogos iaitu malam Hari Raya Aidilfitri.
Pihak Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 8.37 malam, di mana seramai lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Jainal berkata, pihak bomba tiba ke tempat kejadian sekitar dua minit selepas menerima panggilan dan berjaya memadam kebakaran itu dalam tempoh 30 minit.
“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran itu daripada terus merebak ke lima buah rumah yang lain yang berhampiran dengan rumah yang terbakar itu,” katanya.
Beliau turut berkata, ketika kebakaran itu berlaku, pemilik rumah bersama isterinya sedang berehat di dalam rumah itu.
Tanpa disedari, api telah merebak ke seluruh rumah sehingga tidak dapat dikawal lagi.
“Mujurlah kedua-dua mereka (suami isteri) sempat menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
“Anggaran kerugian dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.
Sebanyak empat buah jentera bomba dan empat buah kenderaan utiliti digunakan dengan pasukan bantuan seramai 11 orang dari Balai Bomba dan Penyelamat Labuan turut hadir membantu dalam operasi itu.
No comments:
Post a Comment