Friday, 16 August 2013

KDM FC HADAPI ST LABUAN

Views

       Pasukan KDM FC Labuan yang beraksi dalam Liga Lafa 2013 siap sedia melayani pasukan ST Labuan yang dijadualkan berlangsung pada sabtu ini, di padang Dataran Labuan.

       Pengurusnya, Christopher Paul Darison berkata, pemain KDM FC Labuan yang kini giat berlatih setiap petang berjaya menunjukkan komitmen yang tinggi dalam latihan, serta bersemangat untuk berhadapan dengan ST Labuan setelah lama tidak beraksi dalam kejohanan tersebut.

      "Dari segi fizikal, saya rasa tiada masalah buat pemain KDM FC Labuan kerana setiap hari mereka dibekalkan latihan untuk meningkatkan kecergasan mereka. Sepanjang latihan minggu ini, saya mengutamakan aspek kecergasan fisikal para pemain terutamanya pemain di bahagian tengah dan serangan," ujar Christopher Paul dalam satu pertemuan sebelum ini.

      Beliau berkata, pemain tengah KDM FC Labuan seperti Melvin Paidi, Maxim Jokinin, Alexander Julian, Willie Alex dan Emek Lantakang berjaya menunjukkan semangat juang yang tinggi semasa dalam latihan dan mengharapkan agar gandingan mereka dapat mengawal bahagian tengah padang semasa dalam pertemuan dengan ST Labuan nant.

     KDM FC Labuan dijangka akan menurunkan pemainnya penjaga gol Benedict Godomon, pemain dibahagian pertahanan seperti Francis Larim, Alfred James dan Jelius Ating, pemain tengah seperti Melvin Paidi, Maxim Jokinin, Alexander Julian, Willie Alex dan Emek Lantakang, dan bahagian serangan seperti Brandon Alder, Alfonso Linus dan Roberter Patrick.

      Sebagai rekod, KDM FC Labuan kini mendahului kumpulan B dalam aksi Liga Lafa 2013 setelah menang bersih dalam tiga perlawanan terdahulu.

      KDM FC Labuan menewaskan Ontros FC 1-0, yang terakhir dengan Fly FC 2-0. Dengan pungutan 9 mata, KDM FC Labuan sebenarnya sudah layak ke peringkat akhir Liga Lafa ini.

      "KDM FC Labuan tidak boleh menabik dada dengan kedudukan yang selesa ketika ini, kita perlu menang dalam pertemuan dengan ST Labuan supaya mengukuhkan lagi kedudukan tempat pertama dalam kumpulan B dan ianya akan dapat meningkatkan semangat juang pemain saya untuk terus menunjukkan permainan yang baik dalam perlawanan terakhir kami dalam kumpulan B menentang pasukan Bamboo FC pada 25hb Ogos depan" tambah Christopher Paul.

       Ketua jurulatih pasukan itu, Jerome Mijin berkata, KDM FC Labuan akan turun sebagai pasukan underdog dalam perlawanan Sabtu ini, dan akan bermain seperti biasa.

       "Kami akan bermain seperti biasa tanpa sebarang tekanan. Saya gembira apabila tahap kecergasan semua pemain termasuklah penyerang Alfonso Linus berada dalam keadaan terbaik ketika ini," katanya.

       Beliau turut mengatakan bahawa bekas pemain Sabah, Jelius Ating akan turun berlatih bersama-sama dengan pemain KDM FC Labuan pada petang Jumaat (hari ini) dalam sesi latihan terakhir pasukan itu sebelum perlawanan menentang ST Labuan, Sabtu ini.


No comments:

Post a Comment