Monday, 19 August 2013

AIDILFITRI WADAH SESUAI MANTAPKAN PERPADUAN

Views
         Aidilfitri adalah masa yang paling tepat dan sesuai untuk memantapkan lagi perpaduan antara kaum dan agama di negara ini termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan.
          Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli berkata melalui amalan rumah terbuka hari lebaran itu, orang ramai tanpa mengira agama dan kaum dapat berkenal-kenalan dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan persahabatan yang sedia terjalin.
           Katanya, warga Wilayah Persekutuan Labuan sememangnya kaya dengan amalan kunjung-mengunjungi yang sudah diamalkan sejak sekian lama sambil menikmati makanan dan masakan tradisional seperti kelupis, soto, kek batik dan kuih muih.
           "Amalan kunjung-mengunjungi pada hari lebaran mampu memantapkan lagi perpaduan yang sedia terjalin dalam kalangan rakyat dan pemimpin di Wilayah Persekutuan Labuan," katanya.
           Beliau ditemui selepas mengunjungi Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Fotografi Kanan, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Azri Onn Othman dan isteri, Zunika Amboh Turuh di Lorong 23, Kampung Genggarak, Khamis lalu.
            Antara yang hadir Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Yunus Kurus dan Isteri, Datin Dg Pungut Abdul Jalil, Pengerusi merangkap Pengarah Urusan Labuan Liberty Port Management (LLPM) Sdn. Bhd., Dato' Norsiah Abdullah.
             Selain itu, Pengarah Urusan HMD  Sdn. Bhd., Fauziah Mohd Din, Ketua Pemuda Umno Labuan, Mohd Rafi Alli Hassan, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Mohd Taib Ubah, Presiden Majlis Belia Labuan, Md Dzulfaizal Manan, Ketua Kampung Pohon Batu, Dasuki Zainal dan Pengerusi Persatuan Media Labuan, Jainudin Djimin.

            Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan berharap pemimpin masyarakat akan turun ke padang mengunjungi anak buah bukan sahaja untuk memeriahkan Hari Raya Aidilfitri tetapi juga untuk merapatkan lagi hubungan dalam kalangan penduduk kampung dan komuniti setempat.

No comments:

Post a Comment