Tuesday, 27 August 2013

PBS perlu berubah untuk kukuh kekuatan parti

Views
         Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili berkata ahmi PBS mesti berani untuk melahirkan idea dan bersuara demi pembangunan negara.
Beliau menjejaskan, jika ahli ikhlas di dalam bersuara dan berjuang melalui saluran yang betul, ianya sudah tentu akan memperbaiki pentadbiran negara ke arah yang lebih baik lagi.
“Saya menyeru kepada ahli PBS di sini agar terus berjuang, memainkan peranan dan mengambil kritikan dengan ikhlas untuk terus memajukan Pulau Labuan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat agung PBS Ke-28 di sini kelmarin.
Dr Maximus yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air melihat PBS mempunyai peranan yang penting di pulau ini.
“PBS merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang kedua terbesar di sini selepas Ummo”. Parti ini sentiasa relevan untuk bekerjasama dengan parti komponen BN Labuan khususnya Ummo.
“Peluang untuk bekerjasama ini harus digunakan seperti didalam menyuarakan perihal keperluan rakyat di sini”.
“Sebagaimana yang kita maklum, salah seorang ahli PBS iaitu Ketua PBS Bahagian Labuan, Peter Mak merupakan salah seorang Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan,” katanya.
Dr Maximus turut menekankan agar ahli PBS sentiasa mahu untuk berubah demi kekuatan parti.
Beliau menekankan tiga perkara penting di dalam membuat perubahan dalam PBS iaitu pentadbiran parti yang efisien, menambah jumlah ahli dan mengamalkan sikap hormat-menghormati sesuai dengan prinsip parti yang berbilang kaum.
Selepas merasmikann mesyuarat itu, Dr Maximus yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) menyumbangkan sejumlah RM5,000 kepada KDCA Labuan.
Sementara itu, Ketua PBS Bahagian Labuan, Peter Mak memohon agar kedua jawatan tertinggi iaitu presiden dan timbalan presiden PBS di peringkat pusat ditiadakan pertandingan pada pemilihan PBS pada tahun ini.
“Seandainya pertandingan diadakan juga, PBS Bahagian Labuan berdiri teguh di bawah kepimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johniy Ongkili” katanya.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah, Timbalan Ketua PBS Labuan, Edward Lajanty dan beberapa ahli majlis tertinggi PBS pusat.

Monday, 19 August 2013

AIDILFITRI WADAH SESUAI MANTAPKAN PERPADUAN

Views
         Aidilfitri adalah masa yang paling tepat dan sesuai untuk memantapkan lagi perpaduan antara kaum dan agama di negara ini termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan.
          Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli berkata melalui amalan rumah terbuka hari lebaran itu, orang ramai tanpa mengira agama dan kaum dapat berkenal-kenalan dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan persahabatan yang sedia terjalin.
           Katanya, warga Wilayah Persekutuan Labuan sememangnya kaya dengan amalan kunjung-mengunjungi yang sudah diamalkan sejak sekian lama sambil menikmati makanan dan masakan tradisional seperti kelupis, soto, kek batik dan kuih muih.
           "Amalan kunjung-mengunjungi pada hari lebaran mampu memantapkan lagi perpaduan yang sedia terjalin dalam kalangan rakyat dan pemimpin di Wilayah Persekutuan Labuan," katanya.
           Beliau ditemui selepas mengunjungi Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Fotografi Kanan, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Azri Onn Othman dan isteri, Zunika Amboh Turuh di Lorong 23, Kampung Genggarak, Khamis lalu.
            Antara yang hadir Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Yunus Kurus dan Isteri, Datin Dg Pungut Abdul Jalil, Pengerusi merangkap Pengarah Urusan Labuan Liberty Port Management (LLPM) Sdn. Bhd., Dato' Norsiah Abdullah.
             Selain itu, Pengarah Urusan HMD  Sdn. Bhd., Fauziah Mohd Din, Ketua Pemuda Umno Labuan, Mohd Rafi Alli Hassan, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Mohd Taib Ubah, Presiden Majlis Belia Labuan, Md Dzulfaizal Manan, Ketua Kampung Pohon Batu, Dasuki Zainal dan Pengerusi Persatuan Media Labuan, Jainudin Djimin.

            Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan berharap pemimpin masyarakat akan turun ke padang mengunjungi anak buah bukan sahaja untuk memeriahkan Hari Raya Aidilfitri tetapi juga untuk merapatkan lagi hubungan dalam kalangan penduduk kampung dan komuniti setempat.

Friday, 16 August 2013

KDM FC HADAPI ST LABUAN

Views

       Pasukan KDM FC Labuan yang beraksi dalam Liga Lafa 2013 siap sedia melayani pasukan ST Labuan yang dijadualkan berlangsung pada sabtu ini, di padang Dataran Labuan.

       Pengurusnya, Christopher Paul Darison berkata, pemain KDM FC Labuan yang kini giat berlatih setiap petang berjaya menunjukkan komitmen yang tinggi dalam latihan, serta bersemangat untuk berhadapan dengan ST Labuan setelah lama tidak beraksi dalam kejohanan tersebut.

      "Dari segi fizikal, saya rasa tiada masalah buat pemain KDM FC Labuan kerana setiap hari mereka dibekalkan latihan untuk meningkatkan kecergasan mereka. Sepanjang latihan minggu ini, saya mengutamakan aspek kecergasan fisikal para pemain terutamanya pemain di bahagian tengah dan serangan," ujar Christopher Paul dalam satu pertemuan sebelum ini.

      Beliau berkata, pemain tengah KDM FC Labuan seperti Melvin Paidi, Maxim Jokinin, Alexander Julian, Willie Alex dan Emek Lantakang berjaya menunjukkan semangat juang yang tinggi semasa dalam latihan dan mengharapkan agar gandingan mereka dapat mengawal bahagian tengah padang semasa dalam pertemuan dengan ST Labuan nant.

     KDM FC Labuan dijangka akan menurunkan pemainnya penjaga gol Benedict Godomon, pemain dibahagian pertahanan seperti Francis Larim, Alfred James dan Jelius Ating, pemain tengah seperti Melvin Paidi, Maxim Jokinin, Alexander Julian, Willie Alex dan Emek Lantakang, dan bahagian serangan seperti Brandon Alder, Alfonso Linus dan Roberter Patrick.

      Sebagai rekod, KDM FC Labuan kini mendahului kumpulan B dalam aksi Liga Lafa 2013 setelah menang bersih dalam tiga perlawanan terdahulu.

      KDM FC Labuan menewaskan Ontros FC 1-0, yang terakhir dengan Fly FC 2-0. Dengan pungutan 9 mata, KDM FC Labuan sebenarnya sudah layak ke peringkat akhir Liga Lafa ini.

      "KDM FC Labuan tidak boleh menabik dada dengan kedudukan yang selesa ketika ini, kita perlu menang dalam pertemuan dengan ST Labuan supaya mengukuhkan lagi kedudukan tempat pertama dalam kumpulan B dan ianya akan dapat meningkatkan semangat juang pemain saya untuk terus menunjukkan permainan yang baik dalam perlawanan terakhir kami dalam kumpulan B menentang pasukan Bamboo FC pada 25hb Ogos depan" tambah Christopher Paul.

       Ketua jurulatih pasukan itu, Jerome Mijin berkata, KDM FC Labuan akan turun sebagai pasukan underdog dalam perlawanan Sabtu ini, dan akan bermain seperti biasa.

       "Kami akan bermain seperti biasa tanpa sebarang tekanan. Saya gembira apabila tahap kecergasan semua pemain termasuklah penyerang Alfonso Linus berada dalam keadaan terbaik ketika ini," katanya.

       Beliau turut mengatakan bahawa bekas pemain Sabah, Jelius Ating akan turun berlatih bersama-sama dengan pemain KDM FC Labuan pada petang Jumaat (hari ini) dalam sesi latihan terakhir pasukan itu sebelum perlawanan menentang ST Labuan, Sabtu ini.


Wednesday, 14 August 2013

RUMAH PEKERJA MUSNAH TERBAKAR

Views



Sebuah rumah pekerja di Kampung Bebuloh Laut musnah dalam satu kejadian kebakaran pada Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Jainal @Zainal Madasin kelmarin berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.07 petang mengenai kejadian itu.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan berkenaan, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Layangan bergegas ke lokasi kejadian.

“Para anggota tiba pada jam 2.08 petang iaitu lebih kurang satu minit selepas menerima panggilan itu.

“Rumah yang terbakar itu merupakan rumah kayu yang dihuni oleh pekerja yang mengambil upah bagi membina rumah penduduk di sekitar Kampung Bebuloh Laut,” katanya.

Jainal berkata, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan kerana ketika kejadian itu berlaku, penghuni tidak berada di rumah terbabit.

Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 33 minit dengan bantuan jentera pemadam api dari Balai Bomba dan Penyelamat Jawa selain jentera pemadam api dari Balai Bomba dan Penyelamat Layangan.

Manakala, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan dan ia merupakan kebakaran kedua yang berlaku dalam musim perayaan Hari Raya ini.

Sebelum ini, sebuah lagi rumah kayu milik warga Indonesia di Kampung Batu Arang berhampiran dengan Wisma Wong Wo Lo telah terbakar pada 7 Ogos iaitu malam Hari Raya Aidilfitri.

Pihak Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 8.37 malam, di mana seramai lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Jainal berkata, pihak bomba tiba ke tempat kejadian sekitar dua minit selepas menerima panggilan dan berjaya memadam kebakaran itu dalam tempoh 30 minit.

“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran itu daripada terus merebak ke lima buah rumah yang lain yang berhampiran dengan rumah yang terbakar itu,” katanya.

Beliau turut berkata, ketika kebakaran itu berlaku, pemilik rumah bersama isterinya sedang berehat di dalam rumah itu.
Tanpa disedari, api telah merebak ke seluruh rumah sehingga tidak dapat dikawal lagi.

“Mujurlah kedua-dua mereka (suami isteri) sempat menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

“Anggaran kerugian dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Sebanyak empat buah jentera bomba dan empat buah kenderaan utiliti digunakan dengan pasukan bantuan seramai 11 orang dari Balai Bomba dan Penyelamat Labuan turut hadir membantu dalam operasi itu.